Tuesday, April 15, 2008

Sumber Tamadun Islam

  • Tamadun Islam adalah unik kerana sifat keagamaannya.
  • Ia bersumberkan kepada rujukan Tuhan disamping pengiktirafan kepada rujukan akal manusia.
  • Tamadun Islam bersumberkan kepada Sumber Naqli (wahyu) sebagai sumber primer dan sumber Aqli (rasional akal) sebagai sumber sekunder.
  • Ini memperlihatkan dalam aspek ketamadunan, Allah memberi panduan kehidupan manusia menerusi wahyuNya sebagai Pencipta yang Maha Mengetahui tentang kelemahan dan keterbatasan akal manusia, di samping mengiktiraf peranan akal manusia asalkan tidak terkeluar dari batas yang ditetapkan.
  • Sumber primer terdiri daripada 2 sumber naqli iaitu Al-Quran dan Al-Hadis serta sumber yang tidak boleh tidak mesti diterima.
  • Sumber sekunder terdiri daripada ijtihad (pandangan akal para ilmuan) dan nilai-nilai baik tamadun asing. Ia berbentuk sokongan dan menjadi pilihan kepada kita untuk mengikutinya atau sebaliknya, berdasarkan kesesuaian pemikiran rasional akal manusia.

Sumber primer :

1) Al-Quran

  • Adalah sumber primer dalam tamadun Islam.
  • Adalah wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril dalam bahasa arab secara beransur-ansur selama 23 tahun.
  • Ia dibukukan sebagai mashaf ; mengandungi 30 juzuk dengan 114 surah dan 6666 ayat. Ia adalah suatu mukjizat dan membacanya adalah suatu ibadah.
  • Merupakan suatu kitab yang sempurna diturunkan oleh Allah, mengandungi seribu satu macam maklumat untuk digunakan, dianalisa dan dikembangkan oleh manusia. Apa pun bentuk ilmu dan maklumat yang diperlukan, ia terkandung di dalam Al-Quran dan perincian, pengembangan atau penghasilan ilmu susulan selepas itu mestilah berteraskan Al-Quran. Ia boleh dikaji, dianalisa dan dikembangkan tetapi dasar asasnya mestilah masih perlu diselarikan dengan kandungan asalnya.
  • Analoginya, ia bagaikan sebuah manual operasinya untuk sesebuah produk, ia mestilah dituruti setiap langkah dan arahan yang digariskan. Meskipun ada pengubahsuaian yang dibenarkan namun ia haruslah tidak bercanggah dengan prinsip dan arahan asalnya. maklumat yang terkandung dalam buku manual tersebut merupakan maklumat yang paling lengkap dan bersifat primer. Maklumat tersebut tidak boleh diubah sekiranya tidak mahu mengalami sebarang kerosakan fungsi pada peralatan yang dihasilkan.

Asas tamadun Islam

Tamadun dibangunkan atas 3 asas utama iaitu akidah, syariah dan akhlak.

1) Akidah :

  • Pada sudut etimologi, akidah berasal daripada perkataan arab iaitu 'aqada beerti ikatan atau simpulan.
  • pada sudut terminologi, ia memberi maksud kepercayaan yang teguh dan tidak berbelah bahagi walau dengan apa cara sekali pun iaitu keimanan kepada Allah dan segala ajaran RasulNya.

2) Syariah :

  • Pada sudut etimologi, syariah berasal daripada perkataan Arab iaitu syara'a beerti sumber air, cara atau jalan yang lurus mengikut Al-Quran.
  • Pada sudut terminologi, ia memberi maksud berkaitan hukum-hukum atau peraturan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T kepada manusia melalui RasulNya.
  • Matlamat syariat (maqasid syar'iyyah) dalam islam adalah bertujuan untuk memberi jaminan pemeliharaan 5 perkara asas dalam kehidupan iaitu nyawa, akal, harta , keturunan dan agama.
  • Apa sahaja aspek kehidupan dalam tamadun islam memberi jaminan kelima-lima perkara asas di atas terpelihara. Selagi ia menepati tuntutan syariat, aktiviti kehidupan kita dianggap ibadah, sama ada ibadah khusus ataupun ibadah umum.

3) Akhlak :

  • Pada sudut etimologi, akhlak berasal daripada perkataan arab iaitu khulq beerti budipekerti atau tingkahlaku yang lahir secara spontan.
  • Pada sudut terminologi, ia memberi maksud sikap atau tabiat yang dihasilkan oleh keutuhan akidah dan kemantapan syariat yang diamalkan. Ia berbeza dengan etika kerana akhlak bersifat syumul dan komprehensif.
  • Sumber akhlak kita mestilah berasaskan nilai yang ditetapkan oleh Allah dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Konsep Tamadun Islam

Tamadun Islam digambarkan sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan kreatif.

Menurut Prof Syed M Naquib Al Attas merumuskan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.

DEFINISI TAMADUN

'TAMADUN' dapat didefinisikan kepada dua sudut iaitu sudut etimologi (bahasa) dan terminologi (istilah).

Sudut Etimologi (bahasa) :
Tamadun dapat dilihat daripada beberapa bahasa iaitu bahasa arab, inggeris dan bahasa malaysia.

Bahasa Arab :-

1) Tamaddun
- Berasal daripada perkataan madana ataupun tamaddana beerti pembukaan bandar ataupun perbuatan memperhalus budi pekerti yang terpuji. kadangkala juga ia dikaitkan dengan din yang bermaksud agama. Ia mula diperkenalkan oleh Jurji Zaydan.

2) Hadharah
- Berasal daripada perkataan hadhara dan berlawanan erti dengan badawa (kehidupan secara nomad) iaitu perbuatan duduk di bandar. Ia juga diertikan sebagai perilaku kehidupan yang tinggi. Ia seringkali digunakan oleh Malek Bin Nabi.

3) Thaqafah
- Berasal daripada perkataan thaqifa yang beerti kemajuan intelektual ataupun peradaban yang tinggi pada sudut kebudayaan dan perilaku.

4) Umran
- Berasal daripada perkataan amara yang bermakna rumah atau bangunan yang mewakili simbolik kemajuan dan peradaban. ia mula digunakan oleh Ibnu Khaldun.

5) Madani
- Perkataan madani ataupun madaniyyah juga berasal daripada perkataan madana yang beerti bandar atau kehidupan menetap di bandar. Ia mula digunakan secara meluas setelah diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi dan Muhammad Abduh.


Bahasa Inggeris :-

1) Civilization
- Berasal daripada perkataan civitas dalam bahasa latin atau civic yang beerti kehidupan di bandar.

2) Urbanization
- Berasal daripada perkataan urban yang bermaksud kehidupan ala bandar ataupun kehidupan selepas proses urbanisasi.

3) Culture
- Beerti kebudayaan yang seringkali digunakan dan merujuk kepada kemajuan intelektual.


Bahasa Malaysia :-

1) Tamadun
- Berasal daripada perkataan arab iaitu tamaddun beerti keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaanserta perkembangan pemikiran yang tinggi.


2) Peradaban
- Berasal daripada kata nama adab iaitu keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani sesuatu bangsa atau masyarakat.


3) Kemajuan
- Berasal daripada kata nama maju iaitu perihal maju taraf hidup, sama ada kemajuan material ataupun rohaniah.

4) Kemakmuran
- Berasal daripada kata nama makmur iaitu perihal makmur, mewah dan sejahtera.


Sudut Terminologi (istilah) :

Tamadun sering digambarkan sebagai kemajuan kebendaan atau maksud pencapaian yang tinggi dalam sains dan teknologi. Namun ia sebenarnya melangkaui maksud pencapaian tatasusila dan moral yang tinggi di samping kemajuan penempatan ala bandar serta kemudahan hidup yang sempurna.

Secara konteksualnya :

1) Sebahagian istilah tersebut menggambarkan kemajuan material semata-mata seperti umran, urbanization malahan juga perkataan kemajuan itu sendiri.

2) Terdapat juga sebahagiannya yang lebih menjurus kepada kemajuan spiritual dan intelektual seperti penggunaan istilah culture, peradaban ataupun thaqafah.

Kesimpulannya :

- Terminologi barat lebih menjurus kepada pencapaian kemajuan material yang tinggi.

- Islam melihatnya sebagai pencapaian kehidupan yang tinggi dan membangun menerusi proses urbanisasi dengan nilai, adab dan tatasusila hidup yang tinggi.

- Kamus dewan menganggapnya sebagai suatu keadaan masyarakat manusia yang dicirikan atau didasari pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran, sosial, budaya, politik dan moral yang tinggi peradabannya.